Selasa, 4 November 2008

sastera dan budaya

SASTERA DAN BUDAYA

SINONIM DAN KESINONIMAN KATA PEMANDU

PENGENALAN

Sesuatu perkataan yang kita ketahui dan selalu digunakan, kadang-kadang kita sendiri tidak pernah terfikir bahawa perkataan itu mempunyai perkataan-perkataan seerti atau sinonim yang lain. Maka esei ini akan cuba membuat sedikit analisis pada satu perkataan yang mempunyai sinonim dan kesinonimannya.

Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. dalam Teasurus Bahasa Melayu, bahawa perkataan-perkataan seerti atau sinonim terdiri daripada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama. Maksud 'sama' ini tidaklah perlu seratus peratus sama. Hal ini tidak dapat dipastikan sama ada perkataan-perkataan seerti atau sinonim itu wujud atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, memang ada perkataan-perkataan yang menunjukkan keserupaan yang cukup untuk dikatakan perkataan-perkataan itu mempunyai makna yang sama. Contohnya jemput dan undang, kalau sekali imbas terasa kedua-dua kata ini mempunyai makna yang sama. Kata jemput digunakan dalam konteks perbualan, manakala undang pula digunakan dalam konteks tulisan atau lebih rasmi.

Manakala menurut kamus Dewan (Arbak Othman: 1994), sinonim bermaksud kata-kata yang seerti; kata-kata yang sama maknanya. Contohnya ialah sinonim bagi cantik ialah lawa. Kesinoniman pula menurut kamus Dewan (Arbak Othman: 1994) ialah kesamaan erti perkataan; perihal perkataan yang mempunyai sama erti.

Jelas di sini bahawa sinonim dan kesinoniman itu ada unsur persamaan. Maksudnya sinonimnya tidaklah seratus peratus sama tetapi mempunyai unsur persamaan (Erdina: 2005). Namun terdapat perbezaan sinonim dan kesinoniman iaitu perbezaan pada konotasi yang terdapat di antara satu kata dengan kata yang lain.

Oleh itu, dalam analisis ini saya akan melihat sinonim dan kesinoniman yang terdapat dalam perkataan pemandu. Jarang sekali kita mengetahui bahawa perkataan pemandu mempunyai sinonim yang banyak kerana kita hanya menganggap bahawa pemandu sinonim dengan drebar atau supir. Maka dengan bantuan data yang diperolehi dari Teasurus Bahasa Melayu, sinonim bagi perkataan pemandu yang diperolehi akan diolah dengan menggunakan pendekatan Analisis Komponen Makna. Dengan menggunakan pendekatan Analisis Komponen Makna, maka perkataan pemandu akan dilihat sinonim dan kesinoniman perkataan ini dengan kata-kata yang sinonim dengannya. Maka pendekatan ini dapat melihat persamaan dan perbezaan yang terdapat dengan kata pemandu dengan kata-kata yang seerti dengannya.

Selain itu, saya hanya akan menganalisis beberapa kata-kata yang sinonim dengan pemandu iaitu drebar, juruterbang, jurumudi, mualim, guru, pembimbing, pendidik, imam, rasul dan akhir sekali sinonim pemimpin.

MAKNA PEMANDU

Dalam dunia ini kita sudah biasa dipandu oleh seseorang atau sesuatu dalam melakukan sesuatu hal. Hal ini juga sudah berlaku sejak kita lahir lagi tanpa ibu bapa kita atau pengasuh, pasti kita tidak tahu ke mana arah tuju hidup kita, maka merekalah yang mendidik kita dalam pelbagai hal seperti mengajar berjalan, mengajar makan dan sebagainya.

Setiap masyarakat atau penganut agama mempunyai pemandu mereka sendiri. Begitu juga halnya yang terdapat dalam agama Islam, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diutus menjadi Rasul untuk memandu umat manusia ke jalan benar. Selain itu, turunnya Al-Qur'an juga adalah sebagai panduan umat Islam dalam menuju ke jalan yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala hal ini jelas, sekiranya hidup kita tanpa pemandu pasti kehidupan kita pastinya kucar-kacir. Maka sejak dulu lagi bahawa rasul dikenali sebagai pemandu (pemandu kehidupan umat manusia).

Selain itu, sesuatu benda seperti kenderaan kereta atau kapal terbang tidak akan mampu bergerak sendirinya tanpa orang yang memandunya iaitu pemandu. Mereka ini digelar sebagi pemandu kereta atau pemandu kapal terbang.

Berdasarkan deksripsi di atas, kata pemandu ialah tergolong dalam kata nama. Apabila kita mendengar perkataan pemandu, terlintas dalam fikiran kita mungkin tentang pemandu kenderaan atau pemandu pelancong.

Berdasarkan fitur di atas, pemandu sebagai kata nama mempunyai fitur secara relatif sepadan dengan fitur nama jabatan, contohnya:

a. Ali bekerja sebagai pemandu lori.

b. Ali bekerja sebagai pemandu pelancong.

Ayat (a) dan (b) gramatis dan feminin, tetapi ayat (a) mempunyai makna [+] kenderaan, manakala ayat (b) pula mempunyai makna [-] kenderaan. Dalam membezakan makna kedua-dua ayat di atas, kita hanya perlu melihat objek yang dipandu oleh pemandu. Jelas terlihat persamaan kedua-dua ayat di atas ialah tujuan atau pekerjaan yang dilakukan iaitu [+] memandu. Selain itu juga, persamaannya ialah pemandu lori dan pemandu pelancong adalah [+] kata jabatan (jawatan).

Drebar

Kata drebar lebih fokus kepada pemandu kenderaan saja. Dengan kata lain, drebar mempunyai ciri khas yang utama iaitu penggunaannya secara informal. Kata drebar lebih banyak digunakan dalam suasana informal atau bahasa sehari-hari. Contohnya;

a. Ali bekerja sebagai drebar ambulan di rumah sakit itu.

b. Drebar teksi itu patah kaki akibat kemalangan itu.

c. " siapa drebar kereta atu"…

Berdasarkan perbandingan jadual di atas, terdapat lima persamaan fitur antara kata pemandu dan drebar. Walau bagaimanapun, persamaan yang jelas ialah tujuan kedua-dua kata ini ialah memandu. Manakala terdapat sedikit perbezaan antara pemandu dengan drebar, iaitu fitur kata drebar [+] kenderaan manakala kata pemandu pula kadang-kadang boleh [+] / [-] kenderaan.

Juruterbang

Seperti halnya dengan kata jabatan drebar, juruterbang juga merujuk kepada pemandu kenderaan tetapi hanya khusus kepada kapal terbang sahaja. Penggunaan juruterbang lebih kedengaran profesional penggunaannya berbanding pemandu kapal terbang. Lihat contoh ayat di bawah ini;

a. Daud sudah lama bekerja sebagai juruterbang Royal Brunei Airlines.

b. Daud sudah lama bekerja sebagai pemandu kapal terbang Royal Brunei Airlines.

Contoh ayat (a) telah jelas melihatkan kata juruterbang adalah pekerjaan yang profesional tetapi tidak pada ayat (b), di mana ayat (b) menggunakan kata pemandu telah mengurangkan kualiti juruterbang itu sendiri.

Berdasarkan paparan fitur di atas serta contoh ayat di atas juga telah menjelaskan perbezaan yang sangat jelas bagi kata pemandu dengan juruterbang ialah penggunaannya iaitu pemandu [-] profesional manakala juruterbang penggunaannya pula [+] profesional. Walau bagaimanapun perbezaan bagi kedua kata ini hanya sedikit tapi masih ada persamaan fitur iaitu [+] memandu, [+] posisi depan, [+] manusia dan [+] nama jabatan (jawatan). Tujuan kedua-dua kata sama iaitu [+] memandu, itulah persamaan yang sangat penting dan menonjol.

Jurumudi

Berdasarkan definisi di atas, kata jurumudi mempunyai makna yang khusus untuk anak buah kapal yang menjaga kemudi. Fitur khas tambahan bagi jurumudi ialah [+] perahu, [+] menjaga, [+] kemudi, [+] membantu dan [+] pemandu.

a. Kalau turun ke laut, ayah selalu menyuruh abang menjadi jurumudi perahu untuk memastikan tidak melanggar kayu-kayu besar.

b. *Kalau turun ke laut, ayah selalu menyuruh abang menjadi pemandu perahu.

Berdasarkan ayat (b), melihatkan makna yang berbeza dan juga tujuannya juga turut berbeza dari ayat (a). Bagi saya,

Kata jurumudi mempunyai persamaan dengan empat daripada fitur enam fitur pemandu yang disenaraikan dan enam fitur tambahan telah dibuat bagi mewakili kata jurumudi. Secara amnya kedua-dua sinonim ini tergolong dalam kelas kata yang sama. Manakala perbezaan bagi kedua kata berkenaan pula ialah tujuan sebenar kata itu yang berbeza. Tujuan sebenar jurumudi itu ialah membantu memandu pemandu perahu bukan memandu perahu. Dengan kata lain bahawa kata jurumudi memandu [-] kenderaan tetapi memandu [+] pemandu.

Mualim

Seperti kata jurumudi, kata mualim juga tergolong dalam kata nama jabatan. Berdasarkan definisi 1 yang terpapar dalam jadual itu telah menjelaskan bahawa kata mualim mempunyai sedikit persamaan makna dengan kata jurumudi iaitu misalnya;

a. Mualim menunjukkan jalan ke negeri entah berentah pada pemandu kapal.

b. *Pemandu kapal itu memang sudah biasa melayarkan kapalnya sendiri.

Ayat (a) telah cukup menjelaskan bahawa tujuan mualim membantu pemandu juga sama seperti jurumudi. Ayat (b) melihatkan makna atau maksud yang berbeza dari ayat (a).

Berdasarkan rincian fitur di atas, terdapat enam persamaan fitur antara fitur pemandu dengan fitur mualim. Perbezaannya pula sama dengan jurumudi iaitu membantu memandu pemandu bukan memandu kenderaan.

Guru

Guru juga tergolong dalam kata nama jabatan. Kita sangat mengenal atau mengerti apa maksud kata guru serta tahu apa tujuan guru. Berdasarkan definisi di atas, kata guru adalah menggambarkan orang yang mengajar dan mendidik. Selain itu, guru juga sering dikaitkan dengan murid atau penuntut atau pelajar, selain itu juga dikaitkan dengan sekolah. Sebagaimana contoh ayat di bawah;

a. Semasa kelas semalam, guru mengajar tentang bagaimana Gunung Berapi berlaku.

b. Tugas guru adalah mendidik pelajarnya dengan baik, manakala pelajar pula mesti belajar menghormati gurunya.

Berdasarkan jadual fitur di atas, terdapat lima persamaan fitur dan tiga fitur khusus di miliki oleh kata guru. Meskipun guru sinonim dengan pemandu, namun guru lebih cenderung dengan hal yang berkaitan orang yang mengajar penuntut di sekolah. Selain itu terdapat juga perbezaan antara dua perkataan ini, lihat contoh ayat di bawah ini;

a. Hari ini guru mengajar tentang mata pelajaran kira-kira.

b. *Hari ini pemandu mengajar tentang mata pelajaran kira-kira.

c. Pemandu pelancong itu menunjukkan bagaimana kuih jala itu dibuat.

Jelas ayat (b) sememangnya gramatis tetapi dari segi makna sangat tidak bersesuaian dalam penggunaan kata pemandu dalam ayat itu. Walau bagaimanapun, seperti kata-kata sinonim sebelum ini iaitu tujuan asal bagi guru masih sama dengan pemandu iaitu memandu sesuatu. Tujuan guru ialah memandu penuntutnya tentang sesuatu pelajaran.

Pembimbing

Berdasarkan definisi di atas, kata pembimbing mempunyai kesejajaran makna dengan kata guru. Pembimbing ini selalu dikaitkan dengan orang yang mempunyai masalah dalam sesuatu. Maka pembimbinglah yang membimbing yakni mengajar mereka ke jalan yang sepatutnya. Bahkan terdapat juga pembimbing yang membimbing pada hal yang negatif.

a. Al-Quran diturunkan menjadi pembimbing hidup umat manusia.

Kata pembimbing hanya mempunyai empat persamaan fitur dengan pemandu. Dapat dijelaskan di sini bahawa perbezaan antara dua kata ini ialah kata pembimbing boleh [+] manusia dan boleh [-] manusia, hal ini tidak sama dengan kata pemandu yang fiturnya [+] manusia sahaja. Selain itu terdapat tambahan fitur khusus dimiliki oleh pembimbing iaitu [+] memimpin dan [+] orang bermasalah.

Pendidik

Kata pendidik juga mempunyai kesejajaran makna dengan guru dan pembimbing iaitu mendidik yakni mengajar. Walau bagaimanapun, kata pendidik mempunyai makna yang luas, ia tidak terlalu khusus seperti guru di sekolah saja. Terdapat juga pendidik di luar sekolah.

a. Pendidik pertama bagi seorang anak ialah ibu bapa kita, manakala guru pula adalah pendidik yang selanjutnya.

Jadual fitur di bawah dapat menjelaskan, perbezaan fitur dan persamaan bagi kata pembimbing tidak jauh bezanya dengan jadual fitur kata guru. Sedikit perbezaan dengan jadual fitur guru iaitu pendidik boleh [+] sekolah dan juga boleh [-] sekolah. Bagi melihat persamaan yang jelas bagi kedua kata ini iaitu memandu sesuatu.

2.8 Imam

Imam sama seperti kata-kata sinonim yang di atas, ia juga tergolong dalam kata nama jabatan. Terdapat beberapa tambahan fitur yang mewakili imam iaitu [+] Islam, [+] solat (sembahyang) dan [+] makmum. Imam adalah pemandu bagi solat berjemaah tanpa imam maka solat itu bukan dipanggil berjemaah. Kalau ada imam maka adalah makmumnya, hal ini selalu dikaitkan.

Jadual di atas melihatkan terdapatnya persamaan lima fitur bagi kedua-dua perkataan berkenaan. Perbezaan yang jelas bagi kedua-dua perkataan ini ialah imam [+] solat dan [+] makmum tetapi pemandu [-] bagi kedua-dua fitur tersebut. Sama seperti kata sinonim sebelumnya iaitu mempunyai tujuan yang sama iaitu memandu tetapi imam memandu solat berjemaah.

2.9 Rasul

Dalam Islam rasul itu adalah pesuruh Allah bagi memimpin umat manusia kepada jalan yang benar.

a. Nabi Muhammd s.a.w. diutus sebagai rasul yang terakhir bagi membimbing umat manusia kepada ajaran yang disuruh oleh Allah s.w.t.

Jadual di bawah melihatkan beberapa penambahan fitur yang khusus dimiliki oleh rasul iaitu [+] Islam, [+] wahyu, [+] lelaki dan [+] utusan.

Berdasarkan perbandingan jadual di atas, terdapat lima persamaan fitur antara kata rasul dengan pemandu. Persamaan dari segi kelas kata. Jelas fitur yang sama itu merujuk pada posisi atau keadaan iaitu posisi bagi kedua-dua perkataan ini ialah [+] depan dan juga [+] memandu. Telah pun jelas perbezaan bagi kedua-dua perkataan ini iaitu rasul memandu [-] kenderaan yakni memandu umat manusia. Selain itu perbezaan fitur antara rasul dengan pemandu ialah rasul memilik fitur [-] kenderaan, [+] Islam, [+] lelaki dan [+] utusan.

2.10 Pemimpin

Berdasarkan definisi di atas, pemimpin ini menggambarkan tentang seorang yang memimpin seperti sultan atau raja.

a. Raja sepatutnya menjadi pemimpin yang baik.

b. Raja sepatutnya menjadi pemandu yang baik.

Ayat (a) dan ayat (b), kedua-duanya gramatis tetapi ayat (b) mempunyai makna yang berbeza berbanding ayat (a).\

Berdasarkan jadual fitur di atas, hanya terdapat tiga perbezaan fitur bagi kedua perkataan berkenaan. Persamaan yang sama seperti kata sinonim sebelumnya ialah tujuan kedua-dua perkataan ini sama iaitu memandu sesuatu tetapi pemimpin memandu [-] kenderaan tetapi memandu [+] rakyatnya yakni memimpin rakyatnya.

3. KESIMPULAN

Berdasarkan keterangan dan contoh-contoh ayat di atas tadi dapatlah disimpulkan bahawa menunjukkan adanya sinonim dan kesinoniman kata pemandu dengan kata sinonimnya yang di atas tadi. Setelah dianalisis jelas kini bahawa tujuan bagi semua kata-kata yang sinonim dengan kata pemandu itulah yang sama. Tujuannya yang sama itu ialah memandu sesuatu atau menunjukkan sesuatu atau mengajar sesuatu. Perbezaannya pula ialah sebutan kata itu sendiri berbeza, hal ini adalah disebabkan oleh waktu atau situasi saat kata-kata sinonim itu digunakan.

Jelas dari penerangan di atas telah menunjukkan bahawa sinonim itu tidak seratus peratus sama. Tetapi cuma terdapat sedikit persamaan yang membolehkan kita menggolongkannya dalam sinonim.

Rujukan

Abdullah Hassan, 1986. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd., 2002. Teasurus Bahasa Melayu. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Ernie Zahdina H.M.S, 2005. "Sinonim dan Kesinonimannya" dalam Media Permata (8 Ogos 2005), hlm10.

Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003. Brunei Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Azurin Othman, 2005. "Kesinoniman kata Cantik berdasarkan Pendekatan Analisis Komponen Makna" dalam Jurnal Bahasa (Januari-Jun 2005), hlm19-69.