Rabu, 4 November 2009

DOKTOR, JURURAWAT 'BERAT MULUT' Posted by webmasters on 2009/2/24

Berita Semasa : DOKTOR, JURURAWAT 'BERAT MULUT' Posted by webmasters on 2009/2/24 17:14:55 (707 reads)
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian

Kementerian wajibkan kakitangan hospital hadiri kursus komunikasi

PUTRAJAYA: Semua kakitangan hospital, khususnya doktor dan jururawat diwajibkan menghadiri kursus komunikasi bagi mengurangkan jumlah aduan terhadap mutu perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia juga kerana sebahagian besar aduan yang sering diterima kementerian berpunca daripada masalah kurang komunikasi kakitangan hospital dengan pesakit serta keluarga mereka.


Katanya, sepanjang tahun lalu kementerian menerima lebih 1,000, aduan manakala 34 diterima sepanjang Januari lalu.

"Kebanyakan aduan termasuk kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) berpunca daripada masalah komunikasi. Sebab itulah doktor dan jururawat dinasihatkan supaya lebih berkomunikasi dengan pesakit.

"Ini kerana tanpa disedari, sikap doktor atau jururawat yang kurang bercakap atau tidak bercakap langsung dengan pesakit, boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pesakit," katanya selepas melancarkan Kempen Penerapan Budaya Korporat kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.


Liow berkata, sepanjang tahun lalu kementerian menganjurkan pelbagai kursus bagi membantu doktor dan jururawat meningkatkan kemahiran komunikasi masing-masing.

Mengulas kempen berkenaan, beliau berkata, ia memberi penekanan kepada tiga nilai teras iaitu penyayang, profesionalisme dan kerja berpasukan, inisiatif berterusan kementerian bagi membudayakan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Usaha ini sudah dimulakan sejak 1987 menerusi kempen budaya korporat yang diperkenalkan oleh kementerian dan kempen kali ini bertujuan memberi suntikan baru bagi memantapkan lagi amalan budaya korporat di kalangan warga lama serta baru kementerian," katanya.

Mengenai usaha mengurangkan masalah kecuaian di semua hospital dan klinik kerajaan, beliau berkata, semua kakitangan kementerian sentiasa diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.